Khamis, 10 Disember 2020

Pengetua sekolah agama disyaki rogol pelajar

Nor Fazlina Abdul Rahim

GAMBAR hiasan

Bachok: Pengetua sekolah menengah agama ditahan polis, hari ini dipercayai merogol anak muridnya sejak 2017.

Kejadian itu terbongkar sejak beberapa hari lalu sebelum pengetua berkenaan ditahan di kediamannya di Machang, 6.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pengetua dan pelajar perempuan Tingkatan Tiga berkenaan dipercayai bercinta dan sentiasa berhubung tanpa pengetahuan keluarga.

"Modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan mengajak mangsa ke sekolah dipercayai beberapa kali seminggu ketika ketiadaan murid lain serta guru. Kejadian rogol itu dilakukan di sekolah.

"Kejadian itu mula terbongkar apabila pihak ketiga yang mengetahui perkara itu membuat aduan kepada Talian Kasih sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak polis.

"Sebaik ibu bapa berkenaan bertanyakan kepada pelajar berkenaan apa yang berlaku, pelajar berkenaan mengaku sebelum polis menghantarnya ke Hospital Raya Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengetua berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak selain sudah bertugas di sekolah menengah agama itu sejak beberapa tahun lalu.

"Berdasarkan siasatan awal polis, pelajar berkenaan tidak diugut oleh pengetua itu sepanjang dua tahun lalu sebaliknya apa yang berlaku sudah ada persetujuan bersama antara mereka.

"Mungkin mereka bercinta dan kedua-duanya sentiasa berhubung secara rahsia tanpa pengetahuan keluarga.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan suspek direman pagi ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: