Isnin, 21 Disember 2020

Pegawai RELA ditahan dipercayai jual peluru

KOTA BHARU: Seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditahan dipercayai terbabit dalam penyelewengan penjualan peluru dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Perkara itu terbongkar susulan penahanan dua anggota pasukan itu yang didakwa menyalahguna senjata di Jeli, 6 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pegawai RELA berusia 35 tahun itu ditahan jam 10 malam tadi.

"Satu siasatan dijalankan terhadap dua suspek terdahulu, pihak kami mengesyaki berlaku salah laku oleh pegawai itu yang mana terdapat penyelewengan penjualan peluru dalam kalangan pegawai dan anggota RELA.

"Siasatan juga mengesyaki pegawai berkenaan membuat pemohonan permit membeli peluru menggunakan nama pemegang lesen senjata api RELA tanpa pengetahuan anggota berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shafien berkata, hasil siasatan lanjut terhadap dua suspek terdahulu mendapati peluru yang dirampas oleh pihak polis dalam kes berkenaan dibeli melalui pegawai RELA terbabit.

Katanya, ujian saringan awal mendapati, keputusan negatif dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Disember.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan dua anggota RELA dan merampas selaras senapang patah bersama 68 peluru hidup dalam serbuan di Kampung Jeli Dalam, Pekan Lama Jeli, 6 Disember lalu.

Tiada ulasan: