LANGKAWI: Satu mayat wanita yang telah kembung ditemukan terapung berdekatan Pulau Jemuruk di perairan Langkawi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mayat tersebut ditemukan seorang lelaki kira-kira pukul 10.15 pagi.
“Sebaik sahaja menerima maklumat berhubung kejadian, kami mendapatkan bantuan Maritim Malaysia (APMM) untuk membawa mayat tersebut ke jeti maritim di Bukit Malut.
“Mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat pada Ahad ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, identiti mayat itu setakat ini belum dikenal pasti.
“Polis Ibu pejabat Polis Daerah Langkawi juga sehingga kini masih tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan mana-mana individu di laut,” ujarnya.
Penemuan mayat tersebut menjadi tular dalam media sosial dengan gambar memaparkan mayat berkenaan dalam keadaan separuh bogel dan seakan-akan tersangkut pada bahagian depan sebuah bot karam.
Penularan gambar itu turut disertakan dengan mesej bersuara yang meminta orang ramai untuk mengenal pasti identiti mayat wanita berkenaan. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan