KEPALA BATAS: Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah bertindak menakutkan isteri dan dua anaknya dengan parang, sebelum mengurung diri bersama mereka dalam bilik tingkat atas sebuah rumah di Jalan Pokok Sena, di sini, 7.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian itu suspek yang berusia 46 tahun menyuruh isterinya, 45, dan dua anak masing-masing empat dan 12 tahun masuk ke bilik berkenaan sambil memegang parang berukuran 54 sentimeter.
Katanya, suspek tidak membenarkan mereka keluar dari bilik itu dan bertindak mengunci pintu sebelum membuka radio.
"Dia kemudian membenarkan isteri dan anak sulungnya keluar ke tandas selepas dipujuk tetapi bertindak mengekori mereka.
"Isteri dan anaknya bagaimanapun dapat melarikan diri dan meminta pertolongan bapa saudara yang tinggal di rumah bersebelahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noorzainy berkata, polis berjaya menahan suspek dan temu bual dengan isterinya menjelaskan ia kejadian pertama sepanjang 18 tahun perkahwinan mereka.
"Isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu tadika memberitahu suaminya tidak mengugut atau mencederakan sesiapa.
"Namun tindakan suspek mengeluarkan parang membuatkan dia takut dan bimbang jika suaminya bertindak di luar kawalan," katanya.
Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu dan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan