Sabtu, 12 Disember 2020

Ketuk pintu di Iskandar Puteri pula

Mohamed Farid Noh

MOHD Syafiq menunjukkan lokasi ketukan misteri di kediamannya yang berlaku kira-kira jam 12.36 pagi semalam. FOTO IHSAN PENDUDUK

Iskandar Puteri: Selepas Kampung Melayu Majidee, misteri pintu rumah diketuk berlaku di daerah ini pula, sekali gus menghantui penduduk.

Dalam kejadian di Taman Serimbun di sini, beberapa rumah penduduk digemparkan ketukan misteri pada pintu rumah mereka pagi semalam. .

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Serimbun, Mohd Syafiq Mohd Bani berkata, kejadian itu berlaku pada jam 12.36 pagi selepas dia pulang bertemu rakan di kawasan berdekatan.

Katanya, sebelum tidur dia memeriksa telefon bimbit sebelum terdengar bunyi ketukan pintu hadapan dan belakang rumah sebanyak kira-kira 10 kali.

"Mulanya bunyi ketukan di pintu depan agak perlahan tetapi lama-kelamaan bunyi semakin kuat membuatkan saya berasa pelik.

"Bunyi ketukan pintu berhenti sekejap, namun selang beberapa saat pintu belakang rumah pula diketuk dengan sangat kuat sehingga mengejutkan isteri.

"Apabila diperiksa saya tidak nampak kelibat sesiapa pun," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mohd Syafiq berkata, susulan kejadian itu dia terus menghubungi pengawal keselamatan untuk melakukan rondaan di kawasan sekitar perumahan.

Mohd Syafiq turut memeriksa rakaman litar litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya, namun tidak nampak kelibat manusia atau haiwan yang bole dikaitkan dengan bunyi ketukan itu.

"Saya kemudian memaklumkan kumpulan WhatsApp penduduk taman, sebelum beberapa orang penduduk juga memaklumkan turut mengalami situasi sama.

"Saya ingatkan keluarga saya sahaja yang terdengar tetapi jiran-jiran yang lain juga terdengar termasuk jiran berketurunan Cina dan India,"katanya.

Bimbang keselamatan penduduk, Mohd Syafiq membuat satu laporan di Balai Polis Nusa Bestari di sini, pada pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Muhktar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.

Katanya, polis akan meningkatkan rondaan di kawasan sekitar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, kejadian pintu rumah diketuk menggemparkan beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Tiada ulasan: