Khamis, 24 Disember 2020

Kes keseluruhan positif Covid-19 lepasi 100,000

MGF19112020_TINJAUAN-TOP-GLOVE-PKPD-2
Suasana sebahagian pekerja Top Glove susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Asrama Pekerja Top Glove, Meru, Klang. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 telah mencecah 100,318 kes dengan kes harian yang direkodkan hari ini sebanyak 1,581.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hanya dua merupakan kes import manakala selebihnya adalah penularan tempatan.

“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 18,773 kes.

”Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,579 kes,” katanya menerusi kenyataan,

Mengikut perincian kes harian, Selangor kekal menjadi negeri yang melaporkan jumlah pertambahan paling tinggi iaitu 491 atau 31.1 peratus, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 379 kes dan Sabah 249 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 375 kes (76.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) katanya, merekodkan 1,085 kes sembuh Covid-19

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 81,099 kes,” tambahnya.

Selain dua kematian, sehingga kini 102 kes positif wabak berkenaan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 45 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: