KUALA LUMPUR: Kerajaan menarik balik keputusan menjual anak syarikat TH Plantations Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan yang dibuat pada 4 Disember lalu adalah berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor.
"Kami bertekad untuk terus memajukan TH Plantations dan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa.
"Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah SWT memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH," kata kenyataan berkenaan.
Menjelaskan keputusan itu, kedua-dua Menteri berkata, permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam BSV dan MWM daripada TH Plantations adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang berkuatkuasa sejak 1 Mac 2014.
Katanya, garis panduan itu menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera oleh bukan Bumiputera adalah tertakluk kepada
pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera.
"Berdasarkan ketetapan ini, surat kelulusan bertarikh 24 November 2020 dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan syarat pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.
"Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang diberikan oleh pihak TH Plantations demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat," katanya.
Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang membantah tindakan TH Plantations mahu menjual asetnya kepada syarikat swasta.
Antara lain, bantahan adalah disebabkan TH Plantations gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berkenaan harga tanah terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan