Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal undang-undang dan mewujudkan satu Pasukan Petugas Khas bagi mengenal pasti serta mengkaji isu-isu berkaitan keselamatan siber.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan menubuhkan satu kumpulan kerja bagi menyelaras inisiatif penilaian dan pengukuhan keselamatan siber terhadap agensi-agensi sektor awam kritikal yang terpilih.
Katanya, bagi fasa pertama, 16 agensi telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini.
“Pelaksanaan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) merangkumi tindakan perlindungan ke atas sistem-sistem kritikal pihak swasta dan persendirian.
“Terdapat peningkatan pada tahun ini. Setakat November tahun ini, jumlah insiden siber yang dilaporkan oleh agensi adalah sebanyak 3,836 insiden di mana 31.5 peratus kes melibatkan pencerobohan dan 53.19 peratus kes melibatkan jangkitan malware.
“Insiden siber ini boleh menjejaskan imej dan reputasi agensi yang seterusnya memberi kesan negatif kepada kepercayaan pemegang taruh (stakeholder) dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MKN berkata, serangan Advanced Persistent Threat (APT), ransomware dan pencerobohan sistem rangka kerja teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan adalah isu serius yang perlu diatasi.
“Ia boleh menyebabkan berlakunya ketirisan maklumat strategik, menjejaskan operasi dan mencalar imej.
“Kesannya, keselamatan dan kedaulatan negara terjejas; ekonomi dan kestabilan politik tergugat; serta kesejahteraan rakyat terancam,” jelasnya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan