Khamis, 24 Disember 2020

Kenapa Singapura dapat vaksin lebih awal berbanding Malaysia?

Mohamad Athir Ismail

Kerajaan Malaysia didakwa tidak mampu menyaingi Singapura dalam mendapatkan bekalan vaksin walaupun jumlah yang dijangkiti di negara ini adalah lebih ramai.

Malah, kerajaan juga tertinggal berbanding negara kepulauan itu dari segi memastikan status halal vaksin apabila Majlis Ugama Islam Singapura lebih awal menggalakan umat Islam negara itu mendapatkan suntikan.

Perkara itu sudahpun berlaku sejak seminggu lalu apabila Mufti Singapura, Nazirudin Mohd Nasir, membuat keputusan eksekutif terhadap pengambilan vaksin dalam kalangan umat Islam negara itu.

“langkah kerajaan membenarkan pengambilan vaksin Covid-19 untuk rakyat beragama Islam tanpa risau mengenai bahan yang digunakan, adalah keputusan eksekutif dibuat mufti republik itu, berdasarkan keadaan semasa.

“Menteri agama kita tidak tahu betapa pedihnya hati dan rasa yang harus ditelan oleh Malaysia apabila dikalahkan satu kali lagi oleh Singapura.

“Menteri hal ehwal Islam di Singapura, Masagos Zulkifli, dalam satu paparan di Facebook, mengalu-alukan panduan Majlis Ugama Islam Singapura tersebut dan sudah menggalakkan umat Islam mendapatkan suntikan itu.

“Malaysia kalah oleh rentang masa seminggu!

“Padahal Malaysia sekarang ditadbir oleh kerajaan Melayu-Islam yang cakna akan semua hal maqasid.

“Bahkan penulis ucapan menteri agama Malaysia pun punya doktorat. Tetapi, kita kalah seminggu.

“Jadi kenapa Malaysia lambat bertindak dalam hal vaksin celup keju ini? Saya berpendapat mungkin sebab pertengahan Disember lalu dua tiga agamawan kita sedang gusar memikirkan kejadian misteri yang dihebohkan menerusi media sosial.

“Kejadian penuh mastika itu dikatakan menimbulkan ketakutan dan kegelisahan melampau dalam kalangan penduduk. Ada yang mengomen betapa kaitan dengan makhluk halus.”

Demikian kata penulis, Faisal Tehrani, mengulas kelewatan negara ini mengesahkan status halal vaksin selain lewat mendapatkan bekalan berbanding Singapura.

FAISAL TEHRANI

Faisal atau nama sebenarnya Dr. Mohd. Faizal Musa memaklumkan, kejadian ketukan misteri yang berlaku beberapa minggu lalu di Selangor dikatakan sengaja mengalih perhatian rakyat Malaysia terhadap vaksin Covid-19.

Malah, katanya lagi menerusi ruangan pandangan dalam portal Free Malaysia Today itu mengakui, perolehan vaksin awal oleh Singapura itu adalah pencapaian penting negara itu.

“Penghantaran kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 ke Singapura ini adalah satu pencapaian penting dalam usaha memerangi Covid-19,” tulisnya.

Malah beliau memetik kenyataan Naib Presiden Kanan Kargo SIA, Chin Yau Seng yang mengatakan, “kami berbangga kerana dapat memainkan peranan yang penting dalam usaha ini.”

“Saya tidak menemui seorang pun Malaysia yang tidak menelan air liur oleh kelembapan dan kesembapan kita.

“Singapura akhirnya menjadi yang pertama di Asia menerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

“Kita tidak tahu apakah ia dicelup keju atau tidak, tetapi saya sudah dapat membayangkan kelazatannya.

“Singapura akhirnya dapat dulu, sedang kita heboh darihal kayu hoki celup keju. Kita asyik tidak bersetuju dan jengkel kerana kayu hoki berkeju itu ada banyak bulu,” ujarnya. – SM

Tiada ulasan: