Khamis, 10 Disember 2020

KBS rancang perluas skim pencen kepada atlet layak ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang memperluaskan skim pencen kepada atlet yang layak ke Sukan Olimpik.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Tawaran skim pencen ini dimulakan oleh Yang Berhormat Pengerang (Datuk Seri Azalina Othman Said) kepada atlet yang memenangi pingat Sukan Olimpik di Athens kemudian diteruskan oleh Yang Berhormat Rembau (Khairy Jamaluddin) kepada atlet paralimpik.

"Di pihak KBS, kita masih lagi menerima pandangan persatuan sukan terutama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi memastikan bukan hanya yang menang pingat, malah mereka yang layak ke Olimpik (turut) dipertimbangkan untuk mendapat pencen.

"Ini yang sedang diperjuangkan oleh KBS dan insya-Allah apabila semua siap, saya akan membawa perkara ini kepada (mesyuarat) Jemaah Menteri," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat hari ini.

Tiada ulasan: