Khamis, 3 Disember 2020

‘Kartel tukar daging haram jadi halal’: Kenakan hukuman setimpal, ini soal hukum!

fazleensafina

 

Bimbang produk daging import diedarkan guna logo halal palsu

BANGI – Sesiapa yang terbabit dalam kes memalsukan dokumen dan logo halal bagi produk makanan untuk pasaran di negara ini harus dikenakan hukuman berat.

Baru-baru ini, terbongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging itu dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku, dan menjadikan sebuah gudang di Senai, Johor Bahru sebagai lokasi membuat label dan cap palsu yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan untuk menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yakin perkara ini berlaku berpunca daripada sifat ketidakjujuran dalam mana-mana rantaian proses import dari negara asal hingga ke pasaran kepada orang awam.

“Barangkali ada isu-isu integriti dalam agensi-agensi berkaitan. Dari segi hukum pula, apabila kita mengetahui bahawa daging itu asalnya tidak halal, maka umat Islam haram menjual, membeli dan memakannya.

“Langkah terbaik kenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada individu mahupun kumpulan bersubahat dengan kegiatan itu,” katanya menulis di Sinar Harian.

Pada masa sama, Ustaz Zamri berkata, isu berkaitan makanan halal dan baik atau halalan toyyiban banyak disentuh dalam al-Quran, yang seharusnya menjadi panduan serta rujukan umat Islam.

Katanya, isu makanan tidak boleh lagi dilihat sebagai isu individu namun mesti dilihat sebagai tuntutan bagi memenuhi keperluan umat Islam yang menjadi majoriti penduduk negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman turut menggesa perkara sama, supaya individu termasuk pembekal, pemborong dan peniaga yang cuba mengambil kesempatan menjual produk daging diragui status halalnya diambil tindakan tegas.

Katanya, tindakan itu penting dalam menjaga kepentingan umat Islam di negara ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membawa masuk daging dari negara yang tidak mendapat pengiktirafan halal.

“Kita bimbang, produk daging import ini diedar ke pasaran menggunakan logo lalal palsu dan dibeli umat Islam.

“Justeru, pengguna dalam kalangan umat Islam juga kena lebih berhati-hati memilih produk daging import ini supaya tidak terbeli daging yang diragui status halal,” katanya.

Tiada ulasan: