ALOR SETAR – Industri pelancongan di Kedah kembali rancak apabila jumlah pelancong ke negeri ini mencatatkan peningkatan yang positif sebaik kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri pada 7 Dis lepas.
Pengurus Kedah Tourism Nor Azlan Fitri Abdul Razak berkata peningkatan jumlah pelancong itu dapat dilihat hasil kajian yang dilakukan oleh pihaknya di beberapa daerah antaranya Kota Setar, Kuala Muda, Yan, Baling, Kulim dan Langkawi.
“Hasil kajian oleh Kedah Tourism, kita dapati berlaku peningkatan permintaan pada hotel-hotel di beberapa daerah tetapi yang paling mendapat sambutan ialah di Pantai Chenang, Langkawi. Minggu ini, jumlah pelancong ke Langkawi mendadak selaras dengan penambahan trip feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
Nor Azlan Fitri berkata peningkatan jumlah pelancong terutamanya di Langkawi itu juga didorong dengan promosi hebat dan menarik yang ditawarkan oleh pemilik-pemilik hotel di pulau berkenaan.
“Banyak promosi yang dilakukan oleh pemilik hotel bagi menarik pelancong datang menginap di tempat mereka sebab itu Kedah Tourism ada meminta supaya pemilik hotel kekalkan harga promosi sehingga Mac tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi dan juga tanah besar.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengadakan program ‘Roadtrip Jom Mai Kedah’ dengan kerjasama lima penggiat YouTube dari luar negara bertujuan membantu memperkenal serta mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan di negara masing-masing bermula semalam.
“Program anjuran Kedah Tourism itu melibatkan peserta dari Jerman, Portugal, Kanada, Amerika Syarikat dan Filipina…mereka telah memulakan pengembaraan di Kota Setar, Yan, dan Kuala Muda manakala hari ini diteruskan di Baling dan Kulim,” katanya.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan