Isnin, 14 Disember 2020

Inspektor polis ada simpanan RM1 juta disiasat .

HARAKAH DAILY

SHAH ALAM: Pegawai polis berpangkat DCP dan seorang Inspektor mempunyai wang simpanan berjumlah RM1 juta, antara 29 warga pasukan keselamatan itu yang sedang disiasat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata siasatan pihaknya dalam kes berkenaan adalah menjurus kepada anggota dan pegawai yang memiliki nilai aset luar biasa berbanding jawatan serta gaji mereka, sejarah perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran dan beberapa aspek lagi.

“Kertas siasatan terhadap kesemua pegawai dan anggota ini dijangka dilengkapkan bulan depan untuk dikemukakan kepada pihak atasan bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Selangor berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin yang akan bersara wajib esok.

Tambah Zamri, pada peringkat permulaan hanya empat pegawai dan anggota polis disiasat berkaitan pembabitan dalam sindiket berkenaan namun menerusi siasatan lanjut, kini seramai 29 warga pasukan keselamatan itu dipercayai terlibat.
 
Malah kata beliau, siasatan pihaknya turut mengesan terdapat seorang Inspektor mempunyai wang simpanan berjumlah kira-kira RM1 juta.

“Kita telah meminta pegawai ini menerangkan bagaimana beliau mempunyai wang simpanan sebegini banyak. Antara jawapannya adalah melalui saham dan pemberian daripada bapanya. Bagaimanapun kita akan melakukan siasatan lanjut,” katanya.

Tambah Zamri, kesemua mereka disiasat mengikut Peraturan Perkhidmatan Awam 1993.

Sebelum ini, media melaporkan Goh dan Addy Kanna ditahan pada 2 dan 3 Oktober lepas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket terbabit.

Pada awal bulan ini, Addy Kanna dan Alvin Goh serta dua anggota polis dikenakan perintah tahanan selama dua tahun mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemulihan Khas (PPK) Simpang Renggam, Johor; PPK Pokok Sena di Kedah dan PPK Bentong, Pahang. – BERNAMA

Tiada ulasan: