Sabtu, 5 Disember 2020

Gadis obes dakwa ditipu usahawan kosmetik terkenal

MGF04122020_SIDANG-MEDIA-WANI_-7
Gadis yang mengalami masalah obesiti, Nurul Aira Wani Nazira Ibrahim, 23, atau dikenali sebagai Wani Comel tidak dapat menahan air matanya daripada menitis pada sidang media yang diadakan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN,

PETALING JAYA- Seorang gadis yang menghadapi masalah obesiti, Nurul Airawani Nazira Ibrahim, hari ini menuntut pampasan ratusan ribu ringgit daripada seorang usahawan kosmetik selepas mendakwa beliau dimanipulasi dan dieksploitasi.

Kisah gadis berusia 23 tahun yang lebih dikenali sebagai Wani Comel  yang beratnya pernah mencecah 300 kilogram (kg)  seperti yang tular sebelum ini, mendakwa kontrak sebagai duta produk kurus yang ditandatangani pada September 2019 hanya memberi keuntungan kepada sebelah pihak sahaja.

Selain tidak mendapat manfaat seperti yang dijanjikan, Nurul Airawani Nazira sedar kontrak yang ditandatanganinya tidak jelas.

“Janji  jaga kebajikan saya, keluarga saya. Mereka cakap boleh tanggung saya buat pembedahan potong usus (bariatrik), saya setuju. Awalnya saya tidak setuju tapi mereka cakap boleh jamin saya boleh senang.

“Perjanjian yang diberi akan tolong saya, keluarga saya dan tolong saya sampai berjaya. Kata nak bagi rumah, bagi kereta menyara hidup saya dan keluarga,” katanya pada sidang media hari ini.

Mendedahkan kekecewaannya, Nurul Airawani Nazira yang berasal dari Jerantut, Pahang itu memaklumkan syarikat kosmetik jutawan itu tidak lagi bertanggungjawab terhadap beliau seperti yang dijanjikan sebelum ini selepas menjalani pembedahan bariatrik yang ditaja.

Malah ujarnya, kontrak yang ditandatangani itu dibuat selepas menjalani pembedahan tanpa memberi penjelasan secara terperinci mengenai habuannya sebagai duta produk kurus syarikat berkenaan.

Nurul Airawani Nazira mendakwa, bayaran yang diterima sepanjang mempromosikan produk itu kurang RM1,000 meskipun sebelum ini dia dijanjikan bayaran bulanan sebanyak RM3,500.

“Selepas selesai pembedahan dan keluar dari hospital saya dibiarkan begitu sahaja. Saya tidak buat rawatan susulan sampai sekarang. Laporan kesihatan saya pun tidak dipegang oleh saya tetapi pihak sana (usahawan kosmetik itu),” katanya.

Akibat tidak menjalani rawatan susulan selepas pembedahan bariatrik, Wani kini mengalami kesan sampingan iaitu sakit pada perut setiap kali makan, ujarnya.

“Sebelum pembedahan saya tidak sakit pun perut,” tambahnya.

MGF04122020_SIDANG-MEDIA-WANI_1
Gadis yang mengalami masalah obesiti, Nurul Aira Wani Nazira 
Ibrahim, 23, (kanan) atau dikenali sebagai Wani Comel 
menunjukkan laporan polis yang telah dibuat dan bersama 
peguamnya, Haziq Aizuddin Subhi (dua dari kanan) 
menunjukkan borang perjanjian dan akujanji oleh Pengasas 
Kosmetik popular yang menipu kontrak terhadap anak guamnya 
untuk menjadi duta produk kurus ketika di Faroz Cafe, 
Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN

Kehidupannya juga dengan keluarga tidak berubah, sebaliknya katanya kekal susah.  

Beliau selain itu turut mendakwa pernah digertak oleh wakil usahawan berkenaan kerana tidak berpuas hati apabila situasi sebenar terdedah selepas menerima bantuan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sumbangan.

Nurul Airawani Nazira juga mengaku dikecam oleh netizen yang dianggapnya tidak mengetahui situasi sebenar menyebabkan dia tertekan dan bersedih.

Sehubungan itu, gadis berkenaan menuntut agar usahawan kosmetik berkenaan membayar pampasan, membayar upahnya sebagai duta dan janji-janji yang lain.

Jika diberikan peluang bersemuka, Nurul Airawani Nazira menetapkan ia perlu diadakan tanpa syarat dan dihadiri media.

“Tunaikanlah apa yang dijanjikan, saya pun manusia. Saya bukan binatang, bukan. Saya bukan anak lembu bukan anak kucing,” katanya.

Dalam pada itu peguam Nurul Airawani Nazira, Haziq Aizuddin Subhi memaklumkan telah menghantar surat tuntutan kepada usahawan berkenaan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Tuntutan bagi pihak sana tujuh hari untuk perkara ini selesai. Kita akan hantar notis kedua jika tidak ada respon sekiranya tidak ada kita terpaksa ambil jalan terakhir, mungkin ke mahkamah,” katanya lagi.

Terdahulu Haziq berkata, kontrak yang disediakan oleh syarikat usahawan itu tidak jelas. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: