Isnin, 14 Disember 2020

Dua lagi lembu di Felda Kertih 4 dibaham harimau

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
SALAH seekor lembu milik penternak di Felda Kertih 4  di Dungun, 
Terengganu mati dipercayai dibaham harimau.

DUNGUN: Penternak di Felda Kertih 4 di sini buntu selepas dua ekor lagi lembu mereka ditemukan mati dipercayai dibaham harimau. 

Seorang penternak, Zulkifli Embong, 52,  berkata, dalam serangan terbaharu petang kelmarin, kedua-dua bangkai lembu itu ditemukan berhampiran kandang oleh pemiliknya.

“Pemilik lembu terkejut melihat lembunya terbaring di tanah berlumuran darah dengan sebahagian anggota badan yang hilang dipercayai dimakan ‘pak belang’. 

“Kejadian serangan harimau pada waktu siang ini tentunya menambahkan lagi kerisauan penternak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Sementara itu, Pengurus Felda Kertih 4, Mohd. Azimi Hassan berkata, serangan terbaharu ke atas dua ekor lembu tersebut menjadikan bilangan ternakan dibaham ‘pak belang’ selepas perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sebanyak lapan ekor. 

Katanya, walaupun dua perangkap dipasang dan rondaan kerap dilakukan belum dapat menangkap harimau itu.

“Kita harap haiwan liar itu dapat segera ditangkap kerana bimbang keselamatan peneroka dan penternak,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan seramai 309 peneroka terutama 30 penternak lembu di Felda Kertih 4 bimbang ekoran ternakan mereka diancam harimau sejak awal tahun ini. 

Penternak turut mendakwa mereka kerugian hampir RM100,000 selepas 20 ekor lembu peliharaan mereka dibaham ‘pak belang’. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: