KUALA LUMPUR: Persatuan Haiwan Malaysia mendesak kerajaan memulangkan semula tiga panda di bawah jagaan Zoo Negara ketika ini kepada negara asalnya, China berikutan ia tidak memberikan apa-apa manfaat, terutama pulangan pendapatan.
Presidennya, Arie Dwi Andika, berkata perkara itu perlu dipertimbangkan kerana kos penjagaan dan pembiayaan insurans haiwan itu yang tinggi, apatah lagi Zoo Negara hanya bergantung kepada penjualan tiket pelawat serta beberapa tajaan daripada entiti persendirian.
"Panda ini perlu dipulangkan kerana kos insuransnya sahaja melebihi setengah juta setahun, ini tidak termasuk lagi kos pemuliharaan dalam pengawasan Zoo Negara seperti utiliti, makanan, tenaga kerja dan kesihatan.
"Kerajaan hanya membantu kos pembiayaan untuk Zoo Negara apabila keadaan mendesak dan bukan bantuan secara bulanan, sudah tentu ia tidak mencukupi lebih-lebih lagi ketika ini ia terpaksa ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.
Sebelum ini, BH melaporkan Zoo Negara menjangkakan tidak mampu menampung kos penyediaan makanan hidupan liar yang mencecah RM400,000 sebulan sekiranya PKPB dilanjutkan, bahkan pihak pengurusan mula melakukan catuan membabitkan haiwan tertentu sebagai langkah penjimatan.
Arie berkata, pihaknya tidak melihat sebarang kepentingan untuk Malaysia mengambil tanggungjawab menjaga panda terbabit dalam keadaan haiwan tempatan seperti tapir, gajah dan harimau sedang diancam kepupusan dengan jumlahnya dianggarkan berbaki di antara 200 hingga 300 ekor sahaja.
"Jika benarlah panda jadi tarikan untuk pengunjung melawat Zoo Negara, mengapa ia tidak mampu bertahan walaupun COVID-19 baharu bermula sekitar sembilan bulan?
"Satu perkara yang perlu kita ingat, panda berkenaan adalah milik asal China. Jika kelahiran berlaku, anak panda mesti dipulangkan, jadi apa yang kita dapat hanyalah bebanan.
"Jadi, pihak persatuan memohon kerajaan mengutamakan usaha konservasi haiwan tempatan yang dilindungi menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana ia adalah harta negara," katanya.
Dalam pada itu, Arie turut menegaskan, pihak pengurusan Zoo Negara perlu lebih terbuka dan turut mengambil kira pandangan pihak luar termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perlindungan haiwan.
"Zoo Negara perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada pihak luar seperti NGO haiwan yang lain untuk memberikan pandangan. Ini penting demi kebaikan haiwan yang berada di dalam zoo kerana semua hidupan liar ini adalah harta negara, bukan hak mutlak Zoo Negara," katanya.
Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima dua panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari Kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Panda berkenaan melahirkan anak pertama pada 18 Ogos 2015 yang diberi nama Nuan Nuan.
Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 14 November 2017 sebagai memenuhi syarat perjanjian kedua-dua negara.
Sementara anak kedua pasangan panda itu, Yi Yi pula dilahirkan pada 14 Januari 2018 dan masih berada di bawah jagaan Zoo Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan