PUTRAJAYA: Tiga kes kematian disebabkan oleh COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 422 kes bersamaan 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan kes COVID-19 di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah.
"Kes kematian ke-420 membabitkan wanita warganegara berusia 45 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan strok.
"Bagi kes kematian ke-421, ia membabitkan lelaki warganegara berusia 88 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi, kelenjar prostat dan buta," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata bagi kematian ke-422 membabitkan lelaki warganegara berusia 75 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi, paru-paru kronik dan jantung.
"Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan