Ahad, 13 Disember 2020

Covid-19: Kes pulih lebih banyak berbanding kes positif baharu

MGF21112020_TAKLIMAT-KHAS-COVID09
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes positif baharu Covid-19 mencatatkan pertambahan lagi hari ini dengan yang terbaharu direkodkan sebanyak 1,229 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan akibat wabak tersebut kini mencecah 83,475 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu hari ini, sebanyak 1,227 kes merupakan kes daripada penularan tempatan manakala, dua lagi merupakan kes import.

“Jumlah kes aktif pula direkodkan sebanyak 13,667 manakala, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 115 kes.

“Seramai 65 pesakit yang dimasukkan ke hospital memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya menerusi kenyataan media mengenai status terbaharu Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 1,309 kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 69, 393 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat empat kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia kini mencecah 415 kes. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: