Khamis, 24 Disember 2020

Aswaja persoal alasan lantik Shopee jadi platform kutip zakat

Malaysiakini

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mempersoal tindakan pusat zakat melantik penyedia sistem e-dagang, Shopee bagi memungut zakat umat Islam.

Presidennya, Zamihan Mat Zin juga turut mempersoalkan peranan sebenar portal e-dagang itu di sebalik proses memungut zakat berkenaan.

Jelasnya, ulama telah sepakat bahawa syarat amil atau ejen kutipan zakat mestilah daripada kalangan orang Islam.

"Jadi, siapa pula yang memiliki Shopee itu atau yang menguruskannya zakat bagi pihak Shopee? Muslim atau musyrik?

"Apa definisi dan peranan sebenar Shopee itu di sebalik proses memungut zakat ini? Amil? Ejen majazi (metafora), orang tengah, pemudah cara, pelayan e-dagang atau hantu zakat?

"Konsep zakat adalah amanah kebajikan Islam. Ia bukannya satu muamalah maliah (urusan perbankan). Jadi ia tidak boleh disamakan dengan dengan urusan jual beli, pajak gadai, sewa, pinjaman, pelaburan atau instrumen kewangan semasa. Qiyas maal fariq (analogi yang salah) kerana ia tiada persamaan dari segi illah (alasan)," katanya kepada Malaysiakini.

Bermula 18 Dis, pembayaran zakat boleh dibuat melalui platform Shopee yang menjadi satu lagi medium pembayaran zakat disediakan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk memudahkan pembayar.

PPZ-MAIWP dalam kenyataannya sebelum ini berkata, melalui platform itu, umat Islam boleh membuat bayaran pelbagai jenis zakat, termasuk zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham dan zakat emas dan perak serta zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pembayaran zakat di platform itu boleh dilakukan menerusi dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan dalam talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.

"Pengguna juga boleh membayar zakat melalui Deals, Top-ups & Bills dalam aplikasi Shopee dengan mengikuti langkah-langkah yang mudah," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Zamihan turut mempersoalkan kadar upah yang diterima Shopee dan sama ada ia menguntungkan mana-mana pihak lain atau tidak.

"Kadar upah yang diperolehi Shopee itu atas asnaf amil atau pelayan maya menguntungkan siapa? Atau khidmat Shopee percuma saja kerana Allah SWT?

"Tentu ada caj perkhidmatan dikenakan. Apakah ia diambil dari wang belanja mengurus majlis agama atau dari wang zakat juga? Telus ke tatacara kewangan sebegini menurut Islam? Kenapa nak guna ‘orang tengah’ untuk bayar zakat?" soalnya lagi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas pusat zakat dan Shopee.

Tiada ulasan: