Sabtu, 5 Disember 2020

Aktivis alam sekitar Cameron Highlands meninggal dunia

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS

Mendiang R. Ramakrishnan

IPOH: Aktivis alam sekitar di Cameron Highlands, R. Ramakrishnan meninggal dunia di rumahnya di Brinchang, malam semalam.

Perkara itu disahkan oleh rakan mendiang, Dilip Martin yang memberitahu Ramakrishnan ditemukan meninggal dunia pada pukul 11 malam.

Menurutnya, Ramakrishnan, 55, yang merupakan Pengerusi Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) ditemukan di rumahnya oleh kakak mendiang.

“Mendiang meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi di rumahnya di Brinchang.
“Mayat mendiang di bawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dilip yang merupakan ahli seumur hidup REACH berkata, mendiang dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurutnya, pada Rabu lalu, Ramakrishnan mengadu susah bernafas.

“Berikutan itu saya meminta dia berehat daripada pekerjaannya sebagai pembekal gas.

“Malah sepatutnya hari ini saya menjemput dia di rumahnya untuk membuat pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Sabtu ini.

“Bagi saya pemergian beliau amat mengejutkan kerana beliau seorang yang aktif,” katanya.

Ramakrishnan merupakan ahli pasukan misi menawan Gunung Everest 1997 – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: