Khamis, 10 Disember 2020

Ada rangkaian baharu penyeludupan sempadan?

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

JOHOR BAHRU: Tidak tolak kemungkinan wujudnya rangkaian sindiket baharu terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran dan barangan bercukai (kontraban) di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya percaya ada rangkaian baharu kerana masih terdapat lagi pembolosan penyeludupan susulan hasil operasi dijalankan pihaknya bersama agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, polis Johor sebelum ini telah menumpaskan sindiket penyeludupan utama menerusi penangkapan 70 individu termasuk tekong utama yang terlibat aktiviti itu pada selama ini.

“Sindiket sebelum ini kita dah tangkap, semua dah dalam penjara untuk dibicarakan. Namun baru-baru ini kita ada kesan pembolosan, tidak tolak kemungkinan ada rangkaian baharu, mungkin ada penembusan jaringan baharu.

“Kita sedang pantau dan kenal pasti, kalau ada kita akan buat tangkapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Borong Pandan di sini hari ini.

Polis Johor sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan migran utama di pantai timur Johor, di samping ia juga didalangi anggota agensi penguat kuasa malah mereka sudah dihadapkan ke mahkamah.

Dalam pada itu, Ayob Khan memaklumkan, tiada insiden tembakan yang berlaku antara sindiket penyeludupan dengan pihak polis di negeri ini ketika operasi menghalang kemasukan kumpulan tersebut.

Katanya, sebaliknya hanya berlaku kejadian cubaan melanggar bot polis marin.

Ujar beliau, pihak polis sedang menambah baik peralatan termasuk baju kalis peluru yang dibekalkan kepada anggota terlibat menjaga sempadan negara.

“Polis Marin memang ada, cuma kita sedang berusaha menukar baju kalis peluru yang baharu mereka manakala Pasukan Gerakan Am (PGA) akan juga dibekalkan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: