Khamis, 24 Disember 2020

4 kluster Covid-19 dikesan di Selangor dan KL

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 4 kluster baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu adalah Kluster Kebun Baru di Kuala Langat, Kluster Sungai Burong, di Kuala Selangor, Kluster Tapak Bina Jalan Tun, dan Kluster Jalan Pandan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi kluster Kebun Baru yang melibatkan daerah Kuala Langat, kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 24 Dis melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

"Sehingga 24 Dis, 580 individu disaring, dengan 95 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala bagi kluster Sungai Burong di Kuala Selangor, kes indeks kluster ini melibatkan kes ke-91,410, yang merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 19 Dis.

Setakat ini, 167 individu disaring dengan 28 kes dikesan positif.

Noor Hisham berkata, kluster Tapak Bina Jalan Tun pula merupakan kluster tempat kerja di daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 24 Dis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

“Sehingga 24 Dis, 177 individu disaring, dengan 26 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Kluster Jalan Pandan pula melibatkan daerah Lembah Pantai, Cheras, Kepong dan Titiwangsa di Kuala Lumpur, serta daerah Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Langat di Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini, iaitu kes ke-84,263 dilaporkan positif Covid-19 pada 14 Dis melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 24 Dis, 165 individu disaring, dengan 30 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Tiada ulasan: