KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini menyeru rakyat agar menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos dengan penuh semangat patriotik sekalipun negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19.
Menteri Saifuddin Abdullah berkata walaupun tiada perarakan Hari Kebangsaan diadakan pada tahun ini, rakyat boleh meraikan sambutan secara kreatif dan berkongsi gambar atau video menerusi media sosial.
“Kita galakkan rakyat ambil gambar dan video dan kongsikan kreativiti mereka untuk mengekspresikan Hari Kebangsaan. Oleh kerana tiada acara seperti biasa, tidak bermakna kita tidak boleh menghidupkan semangat sambutan negara secara bersama,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini di TV3.
Menurut Saifuddin, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga serentak dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 9 Julai.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada 31 Ogos dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept yang akan berlangsung di Sibu, Sarawak.
Menurutnya, Agong Sultan Abdullah Shah turut berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan bagi upacara menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan keselamatan utama dan seterusnya menyampaikan titah diraja yang akan disiarkan secara langsung.
“Kebiasaannya tiada titah diraja pada Hari Kebangsaan tetapi kerana 50 tahun lepas Agong pada masa itu mengisytiharkan Rukun Negara pada 31 Ogos, maka kita ambil bersempena ulang tahun 50 tahun itu untuk ucapan titah baginda,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata tema “Malaysia Prihatin” yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini melambangkan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum dan bersatu padu, manakala “prihatin” merujuk kepada aspek kebersamaan rakyat terutamanya dalam berdepan suasana kebiasaan baharu.
“Untuk menjadi patriotik dan prihatin tidak perlu buat perkara besar-besar. Bantu bagi pelitup muka kepada teman, mengingatkan satu sama lain tentang penjarakan fizikal, kutip sampah tepi jalan, itu semua aksi prihatin. Tidak perlu jadi menteri untuk jadi patriotik,” katanya.
Saifuddin berharap setiap stesen televisyen berusaha menghidupkan suasana sambutan itu bagi memastikan hari berkenaan diraikan bersama.
“Selalu kita tengok selain perarakan tentera akan ada juga aset-aset
yang dibawa ke Dataran Merdeka tetapi kali ini takkan nak dibawa
aset-aset itu ke studio…semuanya bergantung pada kreativiti
stesen-stesen televisyen,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan