Sabtu, 1 Ogos 2020

Kadir saran pihak berkuasa siasat bank di Malaysia terbabit aliran dana 1MDB

Kadir Jasin berkata, bank di Malaysia yang didapati terbabit dalam pengaliran wang
haram 1MDB patut didakwa di mahkamah.

PETALING JAYA: Wartawan veteran, A Kadir Jasin menyarankan pihak berkuasa menyiasat bank di negara ini yang terbabit dalam pengaliran dana 1MDB, selepas seorang pegawai bank Coutts & Co di Switzerland didenda gagal memaklumkan pemindahan AS$700 juta (RM2.97 bilion) ke akaun kendalian ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho lebih dikenali sebagai Jho Low.

Bekas penasihat komunikasi dan media Dr Mahathir Mohamad itu berkata, bank di Malaysia yang didapati terbabit dalam pengaliran wang haram 1MDB patut didakwa di mahkamah.

“Malah peranan Bank Negara dalam hal ini pun wajar disiasat,” tulisnya di Facebook hari ini.

Semalam, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mendenda seorang bekas pegawai bank Coutts & Co sebanyak 50,000 Swiss francs (RM232,636) selepas didapati bersalah gagal memberi amaran mengenai pengubahan wang haram berkaitan pemindahan AS$700 juta ke akaun Jho Low, yang didakwa dalang skandal 1MDB.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai “A” itu meluluskan permintaan Jho Low untuk memindahkan AS$700 juta daripada 1MDB ke sebuah akaun atas nama Good Star, syarikat berdaftar di Seychelles yang ditubuhkan Jho Low pada Mei 2009.

Kadir berkata, tindakan mengenakan denda ke atas bank yang didapati bersalah terbabit dalam pengaliran dana haram 1MDB tidak memadai, seperti yang berlaku ke atas AmBank.

Beliau merujuk AmBank cawangan Raja Chulan yang pernah didenda kerana gagal menghantar Laporan Transaksi Meragukan (STR) kepada Bank Negara berhubung transaksi mencurigakan membabitkan akaun bekas perdana menteri, Najib Razak.

Katanya, kedudukan skandal 1MDB menjadi jenayah terbesar abad ini terus diperkukuhkan susulan perbicaraan mahkamah dan tindakan undang-undang di beberapa negara, termasuk Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdon, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

Beliau menyifatkan tindakan mahkamah di Malaysia cukup berwibawa, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

“Kalau tidak, Malaysia akan jadi negara ‘pariah’ di mata dunia,” kata Kadir.

Tiada ulasan: