PETALING JAYA: Kerajaan masih berbincang tentang membenarkan kemasukan pelancong asing, kata Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya hari ini.
Ketua Setiausaha Noor Zari Hamat berkata, salah satu cadangan dipertimbangkan adalah pembukaan perjalanan bagi destinasi zon hijau kepada pelancong dari zon hijau secara khusus.
“Ia antara perkara dibincangkan namun bergantung kepada sejauh mana persediaan di pihak satu lagi,” katanya dalam forum tentang masa hadapan pelancongan pasca Covid-19 anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.
“Apa pun, aspek kesihatan dan keselamatan rakyat mesti diberi keutamaan.”
Beliau berkata terdapat perbincangan mengenai perkara itu dengan negara seperti Singapura, Thailand, Korea Selatan, dan Brunei.
“Jadi, kita mungkin akan membuka perjalanan kepada mereka dahulu,”tambahnya.
Beliau berkata perdana menteri juga sudah memaklumkan kepada duta Jepun bagi membuka beberapa destinasi antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, perbincangan masih panjang, komprehensif dan belum dimuktamadkan.
Sementara itu, Noor Zari mengingatkan pemain industri pelancongan untuk terus berinovasi dan meneruskan promosi meskipun sempadan diperketatkan supaya mereka bersedia apabila keadaan semakin pulih.
Menteri Nancy Shukri sebelum ini berkata kerajaan sedang meneliti cadangan membenarkan penerbangan khusus ke beberapa lokasi zon hijau tertentu, meskipun seluruh negara berkenaan tidak dikategorikan sebagai zon hijau.
Mengambil contoh Perth dan Langkawi, beliau berkata pengunjung mungkin dibenarkan mengunjungi dari atau ke lokasi berkenaan kerana kedua-duanya mampu menyediakan kemudahan penerbangan antarabangsa dan merupakan zon hijau.
Bagaimanapun, perancangan untuk membenarkan gelembung perjalanan (travel bubble) masih di peringkat awal, tambahan pula kementerian masih memantau situasi di negara-negara dikenal pasti sebagai zon hijau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan