Sabtu, 22 Ogos 2020

86 individu ditahan ingkar PKPP

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata 
antara kesalahan ingkar arahan termasuk gagal menyediakan 
peralatan atau catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup 
muka dan aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang 
menyukarkan penjarakan fizikal.

PETALING JAYA: Polis menahan 86 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 75 individu dikompaun manakala 11 direman.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka dan aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Bagi operasi pematuhan untuk memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula, sebanyak 4,814 pasukan pematuhan melibatkan 16,983 anggota membuat pemantauan di 3,988 pasar raya, 5,188 restoran serta 1,026 penjaja, 1,668 kilang, 3,617 bank dan 925 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau sebanyak 1,069 terminal pengangkutan darat, 243 terminal pengangkutan air serta 109 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 15,174 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua ditempatkan di 69 hotel serta 5 institut latihan awam (ILA) di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 7,469 pula sudah dibenarkan pulang.

Ismail berkata, bagi operasi benteng pula polis mengadakan 63 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 28,729 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama di lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Tiada ulasan: