Khamis, 4 Jun 2020

SPRM tahan pemimpin Pemuda PPBM berhubung kehilangan wang Syed Saddiq

Sebelum ini Syed Saddiq dilaporkan kehilangan wang lebih RM200,000 dari kediamannya.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pemuda PPBM ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang bekas menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Penahanan berkenaan disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya.

Beliau berkata suspek ditahan petang semalam selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM berhubung kes berkenaan.

“SPRM menolak sekeras-kerasnya tangkapan terhadap suspek disebabkan motif politik dan dalam kes ini, SPRM mengesyaki berlakunya penyelewengan dalam akaun Armada.

“Oleh itu, siasatan diteruskan menerusi tangkapan ke atas suspek manakala suspek direman selama 5 hari bermula hari ini sehingga Ahad ini (7 Jun 2020),” katanya kepada Bernama, hari ini.

Ahmad Khusairi berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 117, Kanun Acara Jenayah.

“Saya menggesa masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan mempolitikkan tangkapan ini dan ia bertujuan untuk menjalankan siasatan ke atas kes yang sedang SPRM laksanakan,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan kehilangan wang lebih RM200,000 dari kediaman Syed Saddiq, susulan itu SPRM membuka kertas siasatan menyiasat kes itu pada Mac lepas.


Tiada ulasan: