Selasa, 23 Jun 2020

Pahang benarkan semua jenis perniagaan beroperasi

Asrol Awang

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. FOTO / Asrol Awang

SEMUA jenis perniagaan di Pahang dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam, berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peniaga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

"SOP normal baharu ini wajib dipatuhi, termasuk melakukan saringan dengan memeriksa suhu badan pelanggan yang masuk ke premis, setiap hari selain meletakkan tanda penjarakan sosial di lantai dan melakukan proses disinfeksi serta pembersihan.

"Mana-mana pekerja atau pelanggan yang bergejala atau demam dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan memasuki premis.

"Pemilik premis perlu merekod maklumat pekerja dan pelanggan melalui aplikasi MySejahtera atau MoveOn.my setiap kali beroperasi selain, mengekalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara pelanggan dan pekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Rosdy berkata, pekerja dan pelanggan diwajibkan memakai pelitup muka sebelum memasuki premis, semasa berada di dalam premis serta menyediakan cecair pembasmi kuman.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju mana-mana syarat yang tidak dinyatakan secara khusus dalam SOP negeri, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Persekutuan, akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

"Semua pihak diingatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan manakala pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksana polis serta agensi penguat kuasa lain," katanya.

Tiada ulasan: