Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menutup 127 premis perniagaan yang dikendalikan warga asing sejak 7 Jun lalu.
Menurut Sinar Harian hari ini, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khairul Azmir Ahmad berkata kebanyakan premis itu disewakan warga asing daripada pemilik lesen di kalangan orang tempatan.
Katanya lagi, berkata sebanyak 93 premis adalah kedai baju, pasar mini, kedai perabot, kedai serbaneka dan lain-lain, manakala 17 lagi adalah restoran, 14 kedai alat telekomunikasi, dua gerai makanan dan satu pusat cuci kereta.
“Bila kita serbu premis, warga asing ini akan beri macam-macam alasan kononnya mereka hanya pekerja dan pemilik kedai keluar solat, pergi beli barang dan sebagainya.
“Sekarang ini dalam tindakan penguatkuasaan dijalankan, memang kita akan ambil tindakan penutupan kedai sekiranya terdapat peniaga atau pembantu warga asing di dalam premis.,” katanya seperti dipetik.
Pada 6 Mei lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata Undang-undang Kecil (UUK) akan dikuatkuasakan bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam sektor penjajaan.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu akan melibatkan lain-lain agensi yang terbabit seperti Jabatan Imigresen.
Dalam pada itu, Khairul Azmir berkata tindakan tegas itu telah menyebabkan pemilik kedai mula berada di premis masing-masing.
“Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) dan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan