Selasa, 9 Jun 2020

Dr. Mahathir dan Mukhriz saman Muhyiddin

TUN Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya Datuk Seri Mukhriz dan lima yang lain memfailkan saman terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti itu dua minggu lepas.

Lima yang lain ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Marzuki Yahya dan parti itu sendiri selaku plaintif.

Kesemua plaintif menamakan Muhyiddin, yang kini Pemangku Pengerusi BERSATU, Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Kerja Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan  Ketua Pengarah ROS Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga keempat.

Writ saman dan penyataan tuntutan mereka difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini melalui Tetuan Haniff Khatri.

Dalam penyataan tuntutan itu, Dr Mahathir yang merupakan plaintif pertama memohon satu deklarasi bahawa beliau adalah ahli dan Pengerusi BERSATU yang sah, dan adalah kini Pengerusi yang telah menang tanpa bertanding jawatan tersebut pada pemilihan parti.

Mukhriz pula memohon satu deklarasi bahawa beliau adalah ahli dan Timbalan Presiden BERSATU yang sah, dan adalah calon yang sah untuk bertanding pada pemilihan parti itu.

Syed Saddiq memohon satu deklarasi bahawa beliau merupakan ahli dan Ketua Armada parti itu yang sah manakala Maszlee dan Amiruddin memohon deklarasi bahawa mereka ahli parti itu yang sah dan Marzuki memohon deklarasi bahawa beliau adalah setiausaha agung parti yang sah.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa surat pemberhentian mereka yang ditandatangani defendan ketiga iaitu Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei 2020 dan pengesahan berkaitannya melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)  bertarikh 4 Jun lepas adalah tidak sah dan terbatal.

Plaintif juga antara lain memohon deklarasi bahawa keahlian Muhyiddin dalam BERSATU adalah terlucut berkuat kuasa pada 28 Feb 2020 dan/atau 29 Feb 2020 menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan parti itu, begitu juga dengan Hamzah dan Muhammad Suhaimi.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian berkenaan oleh mahkamah dan Fasal 10.2.6 Perlembagaan BERSATU tidak terpakai dalam hal bagi melucutkan/memberhentikan keahlian kesemua plaintif.

Plaintif turut memohon perintah injunksi dikeluarkan kepada ROS untuk membuat pendaftaran atau pembetulan ke atas semua dokumen parti itu selain memohon ganti rugi am, faedah serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – BERNAMA

Tiada ulasan: