Khamis, 11 Jun 2020

‘Apa nak malu artis jual durian’

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Penyanyi Mila Jirin mengaku tidak malu mengambil langkah alternatif seperti menjual buah durian demi menampung pendapatan syarikatnya selain melunaskan gaji pekerja.

Menurutnya, pada awal memang ramai hendakkan kepastian kerana mereka tidak menyangka bahawa sememangnya dia mula berkecimpung sebagai penjual durian.

“Apa yang nak dimalukan ya, ya memang betul saya jual durian.

“Ramai yang bertanya, sama ada rakan-rakan di Instagram atau WhatsApp, betulkah saya jual durian. Buat pertama kali jual durian dari Pulau Pinang, Pahang dan Johor,” katanya.

Mila atau nama penuhnya Norsyarmilla Jirin berkongsi perniagaan barunya itu di Instagram semalam.

Juara Akademi Fantasia musim kelima itu cuba meneroka bidang baru kerana ingin menampung kos operasi ekoran perniagaan diusahakannya terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lalu.

“Kenapa saya jual durian tahun ni? Kerana syarikat saya yang menjalankan perkhidmatan majlis perkahwinan tak dapat beroperasi buat masa sekarang kerana wabak Covid-19.

“Saya bersama-sama pasukan teroka bidang baru iaitu bidang jualan durian.

“Alhamdulillah walaupun bidang ni baru, tapi apa kami lakukan dapat sambutan hangat hingga ada sanggup beratur untuk mendapatkan durian saya,” katanya di Instagram.

Inisiatif berkenaan diambil selepas Mila, 32, mendedahkan dia menjual kek dan manisan sebagai menampung kos pengurusan syarikat dan dan gaji pekerja pada Ramadan lalu.

“Sebenarnya untuk perniagaan kami pelbagaikan sumber pendapatan agar boleh menampung kos operasi syarikat. Inilah antara inisiatif kami ambil untuk bantu syarikat jana pendapatan.

“Kami pun tahu, para pekerja bergantung harap kepada pihak pengurusan untuk pastikan mereka dapat pendapatan dan gaji bulanan yang sama seperti sebelum ni. Justeru, inilah yang saya buat,” katanya.

Tiada ulasan: