Jumaat, 5 Jun 2020

Ali Rustam angkat sumpah jawatan TYT Melaka ketujuh

Malaysiakini

Mohd Ali Rustam hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu bermula kira-kira 10.10 pagi ini.

Mohd Ali, 70, yang juga Ketua Menteri Melaka Kesembilan diiringi isterinya Toh Puan Asmah Abdul Rahman, 64.

Terdahulu, pengisytiharan jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Hasim Hasan.

Mohd Ali kemudian mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat cara sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali kemudian menyampaikan ucapan diikuti ucapan taat setia, sebelum Mohd Ali buat julung kalinya menyampaikan ucapan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Mohd Ali kemudian beredar meninggalkan majlis pada kira-kira 11 pagi dan dijadual menghadiri majlis serah tugas Yang di-Pertua Negeri Melaka di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh.

Hadir pada istiadat itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lim Ban Hong.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka Ke-10 Idris Haron, dan Ketua Menteri Melaka Ke-11 Adly Zahari.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh kepada Mohd Ali pada majlis di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mohd Ali menggantikan Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka semalam.

- Bernama

Tiada ulasan: