SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dari PKR menyarankan agar parti itu keluar dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi maruah.

Beliu turut menyarankan agar Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan mengeluarkan ADUN DAP dan Amanah dari kerajaan Negeri.

ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, pengumuman terbaru parti DAP dan Amanah yang menolak pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak seharusnya diterima pimpinan dan anggota parti.

Menurutnya, penolakan itu adalah sekali lagi satu bentuk pengkhianatan kepada Anwar oleh komponen Pakatan Harapan.

Zulkifli berkata, sebagai sebuah parti yang berprinsip, PKR harus mengambil pendirian tegas dan mengecam komponen PH yang disifatkan seperti kacang lupakan kulit.

“Saya berpandangan, atas dasar prinsip dan idealisme perjuangan, wajiblah PKR di Pulau Pinang untuk segera ambil ketetapan dengan keluar dan menarik balik sokongan ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana keengganan DAP dan Amanah untuk mengangkat Presiden Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Bukan itu sahaja di Selangor dan N.Sembilan PKR harus keluarkan ADUN DAP dan Amanah dari Kerajaan Negeri kerana ia mengkhianati matlamat PKR untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“PKR sanggup menggantung, memecat anggota dan pimpinan parti yang jelas berjasa selama ini hanya kerana sedikit persoalan dalam matlamat menjadikan Anwar Ibrahim PM. Kini adakah PKR menikus depan komponen yang jelas kianat dan hina matlamat Anwar menjadi PM,” kata Zulkifli. – SM