Selasa, 16 Jun 2020

Adu tribunal pengguna jika tak puas hati bil elektrik tinggi


Malaysiakini
 
Pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil elektrik yang melambung tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memfailkan aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
 
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata langkah itu adalah alternatif selain penyaluran aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

“Isu bil elektrik yang tinggi semasa PKP memang dalam perhatian kita. Kita sedar ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati.

“Buka fail di TTPM dengan bayaran fi RM5 dan kes akan diadili sebaiknya,” kata Rosol kepada Bernama di Putrajaya hari ini.

Menurutnya TTPM telah menerima dua tuntutan termasuk satu berkaitan kenaikan luar biasa bil elektrik yang difailkan pada 5 Jun lepas.

Isu kenaikan bil elektrik hangat dibincangkan oleh rakyat, khususnya menerusi media sosial, yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan kerana terlalu tinggi berbanding sebelumnya.

TTPM yang ditubuhkan pada 15 Nov 1999 menyediakan saluran alternatif kepada penggguna untuk membuat tuntutan ganti rugi berkenaan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan kes boleh diselesaikan kurang daripada 60 hari.

Badan itu juga membolehkan pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan yang tidak menepati apa yang diiklankan dengan amaun tidak lebih RM50,000.- Bernama

Tiada ulasan: