Khamis, 14 Mei 2020

Wilayah Persekutuan benarkan solat Jumaat, berjemaah, tarawih dan Aidilfitri

Norlaile Abd Rahman

MGF23042020_SOLAT-TARAWIH-MASJID-NEGARA_03
Imam Jemputan Masjid Negara, Ustaz Ahmad Mujahid Salleh Sani mengimamkan solat tarawih berjemaah bersama warga kerja masjid berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 susulan penularan wabak Covid-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 APRIL 2020. Foto Arkib

KUALA LUMPUR- Semua masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih di Wilayah Persekutuan dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan Aidilfitri dengan syarat jemaah tidak melebihi 30 orang termasuk imam.

Kelonggaran tersebut dikuatkuasakan bermula semasa sesi solat Jumaat esok, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri.

Tambahnya, pihak pengurusan masjid dan surau berkenaan perlu memastikan ada kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis untuk mengawal keadaan.

Malah, menurut beliau, Ketua Polis Negara terlah bersetuju untuk memberi kerjasama penuh.

Ahli Jawatankuasa masjid dan surau berkenaan perlu memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara dipatuhi sepenuhnya.

Pintu masjid dan surau yang berkenaan hanya dibuka sejam sebelum waktu solat dan akan ditutup sejurus solat selesai, tambahnya.

“Berhubungan dengan bilangan jemaah, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya semasa sidang media khas hari ini.

Tambahnya,  orang ramai yang berada di negeri yang masih belum mendapat kebenaran untuk bersolat Jumaat dan berjemaah perlu menunggu keputusan daripada Majlis Agama Negeri masing-masing.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: