Majlis
Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan
Perikatan Nasional (PN) secara rasmi, kata sumber kepada Malaysiakini hari ini.
Sumber
terbabit berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam
mesyuarat MT yang diadakan pada Isnin lalu, dan ia bertujuan menjaga
kedudukan dan kepentingan parti berkenaan.
"MT sebulat suara
tolak, kita tak mahu jadi parti kecil. Kalau banyak parti dalam PN, Umno
tak boleh nak jadi macam dalam BN sebelum ini.
"Sebelum mesyuarat MT, parti melalui mesyuarat biro politik juga sudah menolak cadangan ini.
"Kemudian mesyuarat pengerusi-pengerusi perhubungan Umno negeri juga menolaknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Umno
memeterai piagam Muafakat Nasional bersama PAS untuk mengabsahkan
kerjasama secara rasmi pada akhir tahun lalu. Parti lain dalam BN pula
dianggap menyertai gabungan berkenaan melalui Umno.
Menerusi
Muafakat Nasional, BN dan PAS menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin
Yassin untuk menjadi perdana menteri kepada gabungan PN, sekali gus
membawa kejatuhan Pakatan Harapan sebagai kerajaan selama 22 bulan.
Susulan
pembentukan kerajaan PN di peringkat persekutuan, beberapa kerajaan
negeri yang dikuasai PH juga tumbang selepas krisis politik Februari
lalu, yang berlangsung kira-kira seminggu.
Akhir bulan lalu,
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan PN bukanlah satu
gabungan yang berdaftar secara rasmi dan Umno tidak pernah menyertainya.
"Hubungan
Umno dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia
kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu
dalam PH," katanya yang menegaskan bentuk kerjasama itu berbeza dengan
persefahaman dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang diurus secara
rasmi.
Platform rasmi cerita lain
Dalam
pada itu Anggota Majis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan, berkata
cadangan untuk mendaftar PN dan Umno sebagai ahli sekutunya perlu
diteliti sebaik mungkin.
Pada masa sama, katanya, sokongan Umno terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku perdana menteri tidak perlu diragui.
"Ia perlu dilihat dengan serius apa kebaikan yang Umno dapat dan juga keburukannya.
"Tapi ini bukan bermakna Umno tak sokong PN, kalau tak sokong kita tak berada dalam kerajaan.
"Umno
boleh bagi keyakinan bahawa kita sokong PN dan perdana menteri, untuk
(PN) jadi platform rasmi itu cerita lain," katanya lagi.
Menerusi
PN, Umno berjaya mentadbir kembali negeri yang dimenangi PH pada PRU
lalu, iaitu di Melaka (sebelum ini ketua menteri daripada Amanah) dan
Johor (sebelum ini menteri besar daripada Bersatu).
Di Perak pula, Bersatu kekal memimpin kerajaan Perak meskipun Umno menguasai lebih banyak kerusi di DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan