Isnin, 4 Mei 2020

PKR pecat 348 ahli, pemimpin

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi



KUALA LUMPUR: PKR memecat 348 ahli dan pemimpin termasuk dua wakil rakyatnya selepas didapati melanggar disiplin parti itu.

Wakil rakyat dipecat itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Batu Lintang, See Chee How, sementara dua yang digantung keahlian, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada 21 Mac dan 26 April lalu meluluskan beberapa syor Lembaga Disiplin berkenaan tindakan terhadap sejumlah anggota yang didapati melanggar disiplin parti.
"Seramai 348 anggota dipecat. Ini termasuk beberapa pimpinan seperti (Datuk) Muhammad Jailani Khamis (Alor Gajah); See Chee How (Stampin); Vernon Albert Kedit (Betong); Mohd Nazree Mohd Yunus (Rembau) dan Syarul Ema Rena Abu Samah (Masjid Tanah)," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MPP juga bersetuju menggantung sementara keanggotaan 285 ahlinya sesuai dengan fasal 41.6 perlembagaan parti.

"Lembaga Disiplin sedang meneliti setiap aduan dan bukti-bukti terhadap mereka dan akan mengesyorkan tindakan selanjutnya kepada MPP.

"Dari jumlah ini, empat pimpinan yang keanggotaan digantung adalah Haniza Mohamed Talha dari Cabangan Pandan; Dr Afif Bahardin (Permatang Pauh); Mohd Radzlan Jalaludin (Subang) dan Rahimah Majid (Kudat)," katanya.

Fahmi berkata, terdapat lima kes di mana Lembaga Disiplin sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab termasuk satu membabitkan pimpinan iaitu Naib Presiden, Tian Chua.

"PKR akan terus menjalankan proses membaik pulih parti selepas episod pengkhianatan yang membawa kepada jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih secara sah melalui mandat rakyat," katanya

Tiada ulasan: