Falsafah pendidikan berusaha kembang potensi secara seimbang
1. ALHAMDULILLAH, setiap tahun pada
tarikh 16 Mei kita merayakan sambutan Hari Guru bagi menghargai warga
guru di atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak
bangsa.
2. Tahun ini kita merayakan Hari Guru
dalam suasana dunia diancam pandemik Covid 19. Keadaan ini telah merubah
kebiasaan kita meraikannya secara beramai-ramai kepada bentuk normal
baharu yang berbeza dari sebelum ini.
3. Kesan Pandemik Covid 19 telah banyak
mengubah landskap kehidupan kita tidak terkecuali dunia
pendidikan.Tempias perubahan ini memberi kesan dari aspek pembelajaran
Andragogi dan Pedagogi. Kajian Google menunjukkan para guru di Malaysia
berada di kalangan 5 kelompok teratas aktif menggunakan aplikasi google
classroom.
4. Justeru itu kita dapat melihat, para
guru terus berusaha sepenuh jiwa raga dan memberikan komitmen tidak
berbelah bagi sepanjang PKP untuk menyampaikan ilmu kepada anak-anak
didik mereka walau di mana mereka berada, di desa dan bandar, di kampung
atau pekan, dari utara hingga selatan, dari Perlis hingga ke Sabah demi
kelangsungan ilmu meskipun berdepan dengan seribu satu macam rencam
halangan.
5. Para guru telah menggunakan apa
sahaja medium dan aplikasi digital serta berkejar-kejar mencari pelajar
agar matlamat keilmuan dapat disampaikan supaya tidak ada yang
ketinggalan dan keciciran.
6. iGuru ingin mengucapkan setinggi
tahniah dan penghargaan kepada warga pendidik yang telah berusaha dan
bekerja keras dalam menyampaikan ilmu. Mereka adalah obor penyuluh ilmu
dan adiwira negara.
7. Tanpa semangat keguruan akan
terbantut makna keilmuan. Keilmuan mesti berpaksikan semangat dahagakan
ilmu dan bersedia meningkatkan ilmu baharu. Para guru sewajarnya
melengkapkan diri dengan segala kompetensi dan meningkatkan kemahiran
baharu untuk menghadapi dunia pendidikan yang bersifat digital.
8. Tugas mulia keilmuan ini, bakal
membina generasi pelajar yang mencintai ilmu, mempunyai kompetensi
meneroka sumber maklumat, memiliki keupayaan digital, literasi
ICT,kemahiran menganalisa, kemahiran penyelesaian masalah dan membuat
keputusan, menguruskan emosi dan membentuk paradigma belajar untuk
hidup. (Learning For Life).
9. iGuru menyarankan pihak kerajaan agar
dapat meningkatkan kualiti capaian internet di kawasan luar bandar dan
pendalaman supaya proses keilmuan berterusan termasuk juga aspek
fasiliti dan prasarana, kesediaan para guru, latihan yang efektif,
jaminan kualiti sumber, bentuk pentaksiran yang holistik, kawalan harta
intelek, kesedaran masyarakat dan sokongan institusi pendidikan yang
telah menjalankan proses pembelajaran atas talian.
10. Pendidikan yang berorietasikan masa
depan dalam naratif baharu ini, tidak lagi melahirkan manusia robot
tetapi membina watak manusia yang dahagakan ilmu demi untuk kelangsungan
hidup sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
berusaha mengembangkan potensi individu secara seimbang untuk melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri,
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara
Selamat Hari Guru
Berguru Demi Ilmu Bina Generasi Baharu
Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru
Presiden iGuru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan