Ahad, 10 Mei 2020

PAS Kedah bincang pertukaran kerajaan negeri?

Oleh M Hifzuddin Ikhsan


SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya; dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya; dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.


ALOR SETAR: Pemimpin PAS Kedah mengadakan perjumpaan tertutup bersama kepemimpinan Pusat parti itu, pagi ini, dipercayai bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri dan calon Menteri Besar baharu.

Pertemuan di Kompleks PAS Kedah itu dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya; dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Difahamkan, semua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS menghadiri perjumpaan itu.

Yang turut dilihat memasuki bangunan Kompleks PAS Kedah ialah dua wakil UMNO, iaitu ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor, dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob.

Semalam, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Rabu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dengan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan serta permasalahan yang berlaku dalam kalangan ADUN PH ketika ini.

Tiada ulasan: