Jumaat, 1 Mei 2020

COVID-19: Malaysia catat kematian ke-103, 69 kes baharu direkod

COVID-19: Malaysia catat kematian ke-103, 69 kes baharu direkod
Jumlah keseluruhan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 6,071 kes.
 
 
PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat wabak COVID-19 di negara ini dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 103, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kematian itu melibatkan kes 5541, iaitu seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 66 tahun, dan mempunyai latar belakang penyakit barah.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (iaitu kes ke-4818). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 April 2020 jam 4.00 petang.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, terdapat pertambahan 69 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,071 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,758 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 69 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 12 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 57 kes,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata, 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan. 
 
 

Tiada ulasan: