Ini kerana garis panduan berkenaan tatacara ibadah di masjid dan surau bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, belum dimuktamadkan.
Mufti Johor Yahya Ahmad berkata, soal garis panduan itu akan dibawa dalam mesyuarat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama para mufti yang dijadual berlangsung hari ini.
"Garis panduan masih pada Jakim, belum muktamad lagi. Dalam mesyuarat ini, Jakim akan kemukakannya kepada kita untuk disahkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Meskipun telah dibentangkan sebelum ini, beliau berkata pihak berkuasa negeri ada memberikan beberapa cadangan pindaan serta penambahbaikan.
Beliau berkata ia jika pihak berkuasa berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan surau, serta kerjasama rakyat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Kata bekas mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, garis panduan itu dirangka oleh pejabatnya dan Jakim, dan telah dibentangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugarna Islam Malaysia (MKI) Keempat pada 30 April lalu.
Sementara itu, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad berkata, segala perincian tambahan dalam garis panduan itu hanya akan dibuat setelah mendapat maklum balas KKM dan MKN.
Menegaskan bahawa Islam mengutamakan rujukan pakar sebelum membuat keputusan, beliau berkata mesyuarat sebelum ini diadakan sebelum KKM dan MKN memberikan respons berkenaannya.
“Dalam hal Covid-19 ini, kita mengiktiraf KKM. Jadi apa-apa yang diputuskan KKM (berkenaan garis panduan), kita akan akur.
“Esok (hari ini) mungkin menteri sudah ada dapat maklumat daripada KKM dan MKN, (maka) dia akan bawa mesej itu dan kita akan bincang,” katanya yang memaklumkan mesyuarat itu akan dibuat menerusi Skype.
'Sembahyang Jumaat ketika PKPB'
Menurut Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor pula, antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu berkenaan kebenaran untuk mengadakan sembahyang Jumaat, susulan kelonggaran perintah kawalan pergerakan sejak Isnin lalu.
Ia merangkumi soal tatacara ibadah yang dibincangkan dalam mesyuarat sebelumnya, misalnya kebenaran untuk melakukannya di zon hijau serta kemungkinan sembahyang Jumaat - iaitu khutbah dan sembahyang berjemaah - diringkaskan serta dipendekkan masa pelaksanannya.
Susulan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu, sebarang kegiatan keagamaan di rumah ibadat dilarang kecuali jika ia hanya melibatkan bilangan orang yang terhad, seperti yang ditetapkan kerajaan.
Ia termasuklah solat Jumaat, solat tarawih, dan solat berjemaah yang lain.
Dengan penguatkuasaan PKPB, kebanyakan kegiatan ekonomi dan sosial kembali dibenarkan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM. Bagaimanapun kegiatan yang membabitkan sentuhan badan dan kesukaran mengekalkan penjarakan sosial masih dilarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan