KUALA LUMPUR – Persatuan Pakar
Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan 56 NGO hari ini menggesa
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menarik balik
keputusan untuk membina kawasan khas merokok di tempat awam.
Membantah perkara itu, jelas
presiden persatuan itu, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, ia seolah-olah
memberi mesej negatif kepada masyarakat seolah-olah kerajaan
menggalakkan amalan merokok.
Tidak berniat untuk memusuhi
golongan perokok, namun ujar beliau, perkara itu bertentangan dengan
usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri yang tidak mahu
merokok menjadi amalan.
“Kerajaan hendaklah melihat daripada segi
dasar kesihatan awam berkaitan merokok. Apa-apa yang dilihat menggalak
merokok itu mungkin tidak sesuai.
“Dengan adanya inisiatif ini seolah-olah
menggalakkan perokok untuk merokok dan kita membudayakan lagi amalan
(merokok) yang mana kita tahu ia sebenarnya memberi kesan kepada
kesihatan, ekonomi dan muslim menerusi majlis agama tertentu yang juga
ada mengeluarkan fatwa bahawa merokok adalah haram.
“Jadi, tindakan ini aneh kerana bertentangan
dengan kehendak rakyat. Oleh yang demikian kami menggesa pihak KPKT
agar pelaksanaan kawan merokok ditarik semula dan perbincangan teknikal
antara kementerian dengan pertubuhan serta rakyat dibuat dengan segera,”
katanya dalam sidang media di bangunan Persatuan Kanser Kebangsaan
Malaysia hari ini.
Baru-baru ini dilaporkan, KPKT akan
memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam
termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa
tempatan (PBT) di seluruh negara.
KPKT katanya lagi patut mengadakan
perbincangan dengan pihak yang berkepentingan termasuk semua persatuan
melibatkan kesihatan awam untuk sebelum membuat keputusan ini.
Megulas lanjut, Zainal berpendirian perbelanjaan itu hanya membazirkan wang rakyat.
Sebaliknya, beliau berpendirian lebih
elok untuk kerajaan menyediakan tempat membuang puntung rokok, selain
menggunakan dana tersebut untuk menganjurkan program membantu perokok
untuk meninggalkan amalannya.
“Kita lebih hargai tempat buang puntung
rokok itu, seperti di Singapura, Korea, Jepun, mereka ada tempat buang
puntung rokok jadi tidak payah dibuang merata-rata. Jadi kalau boleh
buat begini di tempat sepatutnya kita lebih alu-alukan.
“Peruntukan RM1 juta hanya bagi memuaskan
hati 20 peratus populasi yang merokok. Sebaliknya wang tersebut
sepatutnya digunakan untuk kegunaan peruntukan bagi mengubati perokok
atau penyakit yang disebabkan oleh rokok atau meningkatkan kemudahan
awam yang bermanfaat kepada ramai rakyat.
“Jadi, kita harap kalau KPKT jika betul-betul
mahu bantu rakyat dari segi perokok minta nasihat kepada golongan
profesional contohnya kempen anti merokok klinik berhenti merokok di PBT
satu langkah lebih baik berbanding mengadakan zon merokok yang
sememangnya boleh merokok,” katanya lagi.
Dilaporkan sehingga kini KPKT sudah
mempunyai satu model kawasan khas merokok dibina di Ampang yang
mempunyai dua pondok kawasan merokok dengan kelengkapan bumbung, tempat
duduk dan tempat membuang puntung rokok.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan