Seorang wakil rakyat PAS membidas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof yang mengarahkan agar mikrofon di meja ahli parlimen (MP) pembangkang yang telah digantung selama dua hari, dialihkan.
Meskipun menyifatkan ia sebagai isu kecil, Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berkata ia sesuatu yang memalukan dan speaker tidak mematuhi Perintah Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Kita nampak mikrofon Pasir Salak (Ahli Parlimen Tajuddin Abdul Rahman) dialihkan daripada meja dia.
"Saya minta nasihat sekiranya speaker sendiri mengarahkan supaya mikrofon dialihkan? Adakah ini praktis (amalan) baru speaker atau kerajaan?" soal setiausaha agung PAS itu ketika sesi parlimen pagi tadi.
Kemudian, Ariff mengakui memberi arahan untuk mengalihkan mikrofon Tajuddin.
"Sekiranya yang berhormat boleh memberi jaminan bahawa (Ahli Parlimen) akan keluar setelah diberitahu berbuat demikian, maka tidak akan ada pengalihan mikrofon," katanya.
Ariff juga mengatakan bahawa ia tertakluk budi bicara speaker untuk membuat keputusan itu, dan tidak semua keputusan disenaraikan secara hitam dan putih.
"Ini berdasarkan budi bicara. Bukan semua perkara berhubung ditulis (dalam peraturan mesyuarat). Sama seperti (speaker) memberi arahan seorang ahli parlimen supaya duduk," katanya.
Bagaimanapun, Takiyuddin tidak setuju dengan penjelasan speaker.
Katanya, tindakan tersebut perlu berdasarkan peraturan mesyuarat.
"Ini memalukan parlimen. Adakah ini tempat kita mempertahankan kebebasan dewan? "kata Takiyuddin.
Ariff membalas: "Kalau sesiapa degil, kemudian mikrofon akan dialihkan lagi."
Khamis lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon menggantungkan Tajuddin selama dua hari selepas pertikaman lidah berhubung isu Kampung Baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan