Khamis, 15 Ogos 2019

Zakir Naik: PKR belum buat keputusan, tunggu Anwar balik dari Makkah

Presiden PKR Anwar Ibrahim kini menunaikan ibadat haji 
di Makkah. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: PKR menunggu kepulangan presidennya Anwar Ibrahim daripada menunaikan ibadat haji di Makkah sebelum mengambil pendirian berhubung pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

“Kita akan tunggu beliau balik dan mempengerusikan mesyuarat. Hanya selepas itu kita akan membuat pendirian rasmi,” kata setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution.

Semalam, ketua Pemuda PPBM dan juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendahului Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dengan menggesa Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya.

Gesaan supaya penceramah itu dihantar pulang ke India mendapat perhatian umum berikutan siri ceramah beliau di Kelantan, yang antara lain menyentuh tentang kesetian penganut Hindu di Malaysia kepada Mahathir.

Beliau mendakwa orang Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun mendapat “100 kali” lebih banyak hak berbanding orang Islam di India.

Beliau juga dilaporkan berkata, orang Cina di Malaysia juga dianggap sebagai “tetamu” di negara ini.
FMT difahamkan bahawa Anwar dijangka tiba dari Makkah hari ini.

Tiada ulasan: