Ahad, 11 Ogos 2019

Tanggungjawab jadi PM kali ini tiga kali lebih berat - Tun M

Tanggungjawab jadi PM kali ini tiga kali lebih berat - Tun M
Dr Mahathir mencipta sejarah menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Putrajaya setelah PH yang diterajuinya berjaya menewaskan BN, yang telah 60 tahun menjadi kerajaan Malaysia. - Foto BERNAMA
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri pada masa ini sebagai tiga kali lebih berat berbanding semasa melaksanakan tanggungjawab itu sebelum ini.

Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri keempat Malaysia pada 1981 hingga 2003, menjelaskan semasa mengambil alih pemerintahan negara pada ketika itu keadaan pentadbiran dan kewangan negara berada dalam keadaan yang bersih dan teratur, tanpa soal kewangan menjadi masalah.

Negarawan berusia 94 itu sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, menyifatkan beliau mengambil alih pemerintahan kali ini dalam keadaan pentadbiran yang 'kotor' serta diburukkan lagi dengan ramai yang terlibat dengan rasuah.

"Kita juga perlu bayar hutang yang dibuat oleh pemerintah terdahulu, sepatutnya (kini) kita dapat guna wang ini kalau ia (betul) dilabur tetapi wang ini hilang. Jadi kita terpaksa bayar hutang tetapi sumber asal dana kita sudah hilang. Jadi ini menjadi satu masalah yang berat untuk kita.
 
"(Kali ini) Tiga kali lebih berat lagipun usia saya telah lanjut dan saya perlu kerja seberapa kuat yang boleh kerana saya janji saya akan letak jawatan. Jadi saya punya masa mungkin tiga tahun, mungkin dua tahun.

"Dalam masa itu, saya perlu habiskan kerja yang memerlukan lapan tahun (ke) 10 tahun, saya kena berlari lebih cepat," katanya dalam satu wawancara bertajuk "Mahathir Bicara Ulama dan Jokowi : Catatan Najwa" bersama personaliti media Indonesia Najwa Shihab, yang dimuat naik menerusi media sosial YouTube.
 
 Dr Mahathir mencipta sejarah menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Putrajaya setelah PH yang diterajuinya berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN), yang telah 60 tahun menjadi kerajaan Malaysia.

Dalam wawancara itu, Perdana Menteri diajukan pelbagai soalan yang merangkumi isu pendidikan agama, politik, hal ehwal antarabangsa dan hubungan Malaysia-Indonesia serta berkenaan kehidupan peribadinya.

Mengenai isu peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bagaimana beliau melihat peranannya terutama dalam hal pentadbiran negara, Dr Mahathir berkata Anwar mempunyai hak untuk mencorak dasarnya sendiri dan beliau terbuka untuk memberi nasihat dan pendapat sekiranya diperlukan.

"Dia (Anwar) akan jadi perdana menteri terpulang kepada perdana menteri untuk menentukan dasar-dasar dia pula. Kalau saya ditanya, mungkin saya boleh beri nasihat, pendapat dan sebagainya. Kalau saya ditanya, tetapi saya tidak paksa sesiapa bertanya kepada saya," katanya.
 
Ditanya pandangannya tentang Presiden Indonesia Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, Dr Mahathir menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang membawa pemikiran baharu.

"Presiden Jokowi sedar tentang keperluan membangunkan Indonesia dan dia memerhatikan tentang bukan sahaja politik tetapi juga pertumbuhan ekonomi," katanya. -- BERNAMA
 
 

Tiada ulasan: