Rabu, 7 Ogos 2019

Sokongan bagi DAP, PKR mungkin merosot jika lesen Lynas diperbaharui, kata penganalisis

Kerajaan akan membuat keputusan selewat-lewatnya 15 Ogos 
ini sama ada ia akan memperbaharui lesen operasi Lynas di Gebeng, 
Kuantan, yang akan tamat pada 2 September ini. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik memberi amaran sokongan terhadap PKR dan DAP akan merosot jika Putrajaya memutuskan untuk memperbaharui lesen operasi Lynas di kilang memproses nadir buminya di Pahang.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia memberitahu FMT, kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan itu lantang mengkritik isu itu sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

“Malah, ahli Parlimen Bentong dan Kuantan sinonim dengan isu ini dan mungkin dipilih berdasarkan isu ini juga,” katanya merujuk wakil rakyat DAP, Wong Tack dan Fuziah Salleh daripada PKR.

Beliau berkata, walaupun DAP mempunyai kerusi majoriti di Parlimen dan menterinya memegang jawatan penting dalam Kabinet, parti itu kelihatan kurang kuasa membuat keputusan sebenar.

“Ia akan menerima kesan terburuk dari segi kemerosotan undi di seluruh negara.”

Bagaimanapun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata walaupun penyokong PH akan kecewa jika lesen Lynas diperbaharui, terlalu awal untuk mengatakan jika pangkalan pengundi gabungan itu akan terjejas.

“Paling tidak, mereka mungkin tidak keluar mengundi,” katanya sambil menambah mereka tidak mungkin mengundi Barisan Nasional.

Kilang Lynas di Gebeng, Pahang menjadi punca pertikaian disebabkan pelupusan sisa radioaktif tahap rendah.

Kerajaan akan membuat keputusan selewat-lewatnya 15 Ogos ini sama ada ia akan memperbaharui lesen operasi Lynas yang akan tamat pada 2 September ini.

Isnin lalu, Reuters memetik 2 sumber sebagai berkata, Putrajaya bercadang memperbaharui lesen Lynas, tetapi mungkin tempoh dipendekkan berbanding kebiasaannya 3 tahun.

Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika mengadakan lawatan ke Tokyo berkata, Lynas akan dibenarkan terus beroperasi di Malaysia kerana kerajaan tidak mahu kehilangan pelaburan besar dari Australia dan permintaan dunia terhadap nadir bumi.

Azmi berkata, tidak mengejutkan jika kerajaan memperbaharui lesen Lynas disebabkan faktor geopolitik global seperti perang perdagangan Amerika Syarikat dan China.

Katanya, PPBM mungkin tidak akan dikritik walaupun Mahathir ialah pengerusi parti itu.

“Dalam isu ini, saya tak nampak PPBM berada di sisi negatif walaupun ia sebahagian daripada kerajaan.”

Tiada ulasan: