Ahad, 11 Ogos 2019

Polis buru 2 lelaki cuba larikan mesin ATM di Shah Alam

Polis kini memburu 2 lelaki yang cuba melarikan 2 mesin deposit 
tunai dan satu mesin pengeluaran wang dari sebuah bank 
di Setia Alam awal pagi tadi.
 
SHAH ALAM: Polis sedang memburu 2 lelaki kerana cuba melarikan 2 mesin deposit wang tunai (CDM) dan sebuah mesin pengeluaran wang (ATM) sebuah bank di Setia Alam, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di premis bank berkenaan, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 6.43 pagi tadi.

Katanya melalui CCTV itu seorang lelaki berjaket hitam dan berseluar jeans pendek dilihat cuba untuk mengumpil mesin ATM di premis berkenaan menggunakan sebatang besi.

“Selepas itu seorang lagi lelaki memakai jaket hitam berhud dan seluar jeans masuk ke dalam premis berkenaan dan memasang rantai besi dan cangkuk pada mesin ATM itu.

“Tetapi usaha mereka untuk menarik keluar mesin ATM itu menggunakan kendaraan gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun Baharudin berkata, kenderaan yang digunakan untuk menarik mesin ATM tidak dapat dikenal pasti kerana tiada CCTV di luar premis bank itu.

Katanya, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati terdapat kesan umpil di 2 mesin CDM serta satu mesin ATM.

Kata Baharudin, ketika kejadian tiada pengawal keselamatan bertugas dan pintu “shutter” di bahagian ATM dan CDM berkenaan akan tertutup secara automatik pada pukul 12 tengah malam dan dibuka pada pukul 6.00 pagi setiap hari.

“Kejadian ini berlaku kurang dari 2 minit. Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: