Ahad, 18 Ogos 2019

Lynas: Kerajaan pusat dapat ‘lampu hijau’ bina fasiliti pelupusan kekal



Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berucap pada Majlis Sesi Town Hall bersama pemilik tanah kawasan MAS Kampung Baru di Pintu Utama, Perkarangan Masjid Jamek Kampong Bharu, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 
 


KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang sudah memberi lampu hijau kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengenal pasti lokasi tapak fasiliti pelupusan kekal (PDF) baru bagi memindahkan sisa buangan daripada kilang pemprosesan nadir bumi Lynas (Malaysia) Sdn. Bhd.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu perlu memandangkan negara asal nadir bumi itu, Australia enggan menerima semula sisa buangan industri itu yang telah dihantar ke negara ini.

“Saya dah periksa dengan kerajaan negeri Pahang dan MB Pahang kata beliau sanggup untuk kenal pasti tanah di mana boleh gali bawah tanah, berapa tingkat bawah tanah dan bina kemudahan pelupusan tetap itu.

“Selepas itu sisa industri Lynas itu yang dihantar ke dalam kemudahan pelupusan tetap akan ditutup sepenuhnya (kekal)

“Di antara tanggungjawab yang perlu dilakukan sekarang ialah dengan bina kemudahan pelupusan ini mengikut piawaian antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sesi Town Hall bersama pemilik tanah kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru di pekarangan Masjid Jamek Kampong Bharu, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu membenarkan kilang Lynas beroperasi di negara ini adalah kerana diperdaya dan ditipu kerana menyangkakan ia satu industri strategik.

Fuziah dilaporkan berkata, sejak Lynas mula beroperasi pada 2012, lebih satu juta tan metrik sisa terjadual dan 500,000 tan metrik WLP disimpan di Gebeng, Kuantan yang bukan struktur penyimpanan kekal.

Dalam pada itu, Khalid juga tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mencari jalan lain dalam menangani sisa nadir bumi termasuk mengenakan syarat baru kepada Australia.

“”Kita akan cari penyelesaian jangka panjang di Australia di mana bahan nadir bumi itu akan dilakukan proses untuk menentukan bahawa yang datang ke sini dan tiada sisa buangan radioaktif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Tiada ulasan: