Saya sangat terpegun dengan pementasan wayang Khat Jawi versi PH. Bagi saya semua ini hanya satira untuk mengaburi penglihatan orang Melayu sebelum Kerajaan PH berkompromi dengan perkara yang lebih besar, misalnya pengiktirafan UEC.
Sutradara oleh Maszlee Malik ini adalah sangat memualkan. Dipentaskan seolah-olah Kerajaan bersungguh-sungguh ingin memartabatkan bahasa dan budaya Melayu, sebagai elemen penting dalam perpaduan nasional. Sedangkan semua itu hanyalah polemik yang mempunyai motif tersembunyi.
Saya menyandarkan pandangan saya ini kepada beberapa perkara.
Pertama, Tun Mahathir bukan pejuang bahasa. Beliau tidak pernah yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kerana itulah beliau menganjurkan sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Malah, beliau kini masih cuba untuk mengembalikan dasar tersebut.
Lalu keputusan memperkenalkan khat sebagai usaha mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebenarnya sangat tidak selari dengan pendirian Tun Mahathir selama ini.
Kedua, apakah objektif pembelajaran yang ingin dicapai oleh Kementerian Pendidikan melalui pengajaran 6 muka surat ilmu khat, yang kemudiannya dikurangkan menjadi hanya 3 halaman?
Protes yang sepatutnya adalah, mengapa dalam tempoh 6 tahun persekolahan, hanya 3 halaman jawi yang diajarkan dalam masa 10 minit? Terlalu sedikit dan sangat menghinakan.
Tetapi tidak. Sekalipun sudah terlalu sedikit dan ringkas, ia masih diprotes.
Dari segi praktikal dan keberkesanan, ilmu apa yang dapat digarap dengan kekangan pembelajaran seumpama ini? Apatah lagi sekarang ini, ia telah dijadikan sekadar ‘tajuk pilihan’. Guru-guru boleh memilih untuk tidak mengajarkannya. Ia akan tinggal di dalam buku teks sebagai sekadar satu tajuk yang tidak ada pemberat, sekadar menjadi aksesori dan kompromi politik.
Ketiga, kenapa parti-parti bersekutu PH senyap dan tidak menyatakan pendirian mereka tentang perkara ini? Ke mana perginya tokoh seperti Rais Yatim, Anwar Ibrahim dan pelbagai lagi tokoh dalam Amanah dan PKR yang pernah berarak suatu ketika dulu membantah PPSMI?
Semuanya seolah-olah bersepakat untuk bersetuju dengan sutradara arahan Maszlee, yang bukan sahaja tidak mampu mempertahankan keputusannya, malah fokusnya hanyalah menurut akur penuh taat dan rela segala tindakan oleh timbalannya.
Keempat, pendukung pendidikan Cina diperlihatkan sebagai berkompromi dengan pengajaran Khat ini setelah penjelasan KPM dibuat. Ini sangat menghairankan. Ini kerana, apa jua elemen pendidikan nasional yang kita perkenalkan selama ini, mereka sentiasa berpendirian keras menentangnya daripada diterapkan dalam sistem pendidikan vernakular mereka.
Tiba-tiba sahaja mereka berkompromi kali ini. Barangkali, ini adalah peluang terbaik untuk membuat konsesi. Iaitu, khat secara pilihan diajar untuk 3 muka surat tetapi timbal baliknya adalah kerajaan mesti berkompromi dengan perkara-perkara lain yang mereka mahu tuntut. Misalnya, pengiktirafan penuh UEC oleh kerajaan.
Kepada Tun Mahathir dan Maszlee, orang Melayu tidak akan terpedaya dengan segala pementasan wayang ini.
Selama berpuluh-puluh tahun, sekolah vernakular Cina mengajar bukan sahaja bahasa Cina, tetapi semua mata pelajaran dalam bahasa Cina. Dengan pelbagai pendedahan kepada budaya dan kaligrafi Cina. Semua berjalan tanpa sebarang kekangan dan bantahan bangsa Melayu. Malah, lengkap dengan sokongan dan bantuan daripada dana serta infrastruktur Kerajaan yang saban tahun meningkat.
Tetapi, apabila baru sahaja kita membuka mulut untuk memperkenalkan hanya 3 muka surat kaligrafi warisan dan budaya orang Melayu, pelbagai tohmahan, tentangan malah polemik budaya dipentaskan untuk menolak nilai Khat serta jawi.
Seolah-olah khat dan jawi itu langsung tidak ada nilai estatik dalam masyarakat majmuk dan keterbukaan pendidikan yang mereka pekikkan selama ini.
Hadir segala macam alasan dan dalihan. Kononnya khat jawi tidak ada nilai komersial, tidak ada masa depan, tidak penting dalam arus teknologi malah bukan sesuatu yang akan digunakan kelak.
Dalam pentas hipokrasi dan melulu ini, mereka lupa, kebitaraan Steve Job dengan inovasi iPhone yang luar biasa itu bermula dengan pengalaman beliau mempelajari kaligrafi di India. Pengalaman sedemikian membuka minda dan memberikan beliau perspektif berbeza tentang peranan ‘arts’ dalam konteks kemodenan dan teknologi.
Demikianlah potensi besar yang akan hadir apabila nilai dan warisan budaya sesebuah bangsa diraikan dengan cara yang matang, terbuka dan tidak cauvinis.
Kepada semua orang Melayu, berjaga-jagalah. Wayang khat ini hanyalah prelud awal kepada kompromi lain yang lebih besar dalam sistem pendidikan negara kita. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan