Sabtu, 10 Ogos 2019

Isu Jawi: Adun DAP minta KPM perjelas maksud 'secara pilihan'

MALAYSIAKINI

   

Adun Bukit Assek (DAP), Irene Mary Chang Oi Ling mahu Kementerian Pendidikan memperjelas kenyataan terbarun kelmarin berhubung pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah rendah yang akan dilaksanakan secara ‘pilihan’.

Kata Chang, penggunaan isitlah ‘secara pilihan’ itu menimbulkan kekeliruan.

“Menteri Pendidikan Maszlee Malik patut menjelaskan perkataan ‘secara pilihan’ apabila dia umumkan ‘pengenalan khat akan dilaksanakan secara pilihan dan guru diberi kuasa untuk menentukan kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing’.

“Kenyataan itu menyebabkan kekeliruan sama ada guru diberi pilihan untuk mengajar kaligrafi Jawi tersebut atau tidak, ataupun mereka hanya diberi pilihan terhadap kaedah pelaksanaanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Chang kenyataan kabur itu menyebabkan laporan berita yang bercanggah antara satu sama lain.

“Perkara ini perlu dijelaskan oleh pihak kementerian supaya pihak sekolah dan guru dapat membuat persiapan sewajarnya untuk sesi sekolah tahun depan.

Kata Chang, pendirian DAP Sarawak adalah agar pilihan sama ada pelajar patut belajar tulisan Jawi ataupun tidak wajar diserahkan kepada ibu bapa.

“Pilihan itu tak patut ditentukan oleh guru kerana majoriti guru mungkin rasa bertanggungjawab untuk ajar juga kerana ia termasuk dalam subjek silibus Bahasa Malaysia, dan ia juga dah pun menjadi isu politik.

“Guru tak patut dibebankan dengan tanggungjawab ini kerana dalam satu kelas, mungkin ada ibu bapa yang mahu anak mereka belajar (tulisan Jawi), mungkin ada yang tak mahu,” katanya.

Pada Khamis, Maszlee mengumumkan bahawa rancangan memperkenalkan enam muka surat pengajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat dikurangkan menjadi tiga dan pelaksanannya dilakukan secara pilihan.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah bantahan oleh komuniti bukan Melayu kerana bimbang ia akan membawa kepada Islamisasi di sekolah vernakular.

Hal itu bagaimanapun dinafikan Maszlee.

Meskipun dengan langkah itu, Chang berkata, orang ramai masih tidak gembira dan tidak mempercayai Kementerian Pendidikan.

“Ini diburukkan lagi dengan kenyataaan yang pernah dibuat Maszlee pada Disember tahun lepas apabila dia menasihatkan guru-guru sekolah agama untuk terus tinggal di Sabah dan Sarawak untuk menyebarkan Islam kepada pelajar di sana. Orang masih belum lupa.

“Oleh itu, dia tak patut terkejut apabila tindakan ini (pengenalan Jawi) pun berdepan kecurigaan dan bangkangan,” katanya lagi.


Tiada ulasan: